Sesuatu cas atau sekumpulan cas-cas akan mewujudkan medan elektrik di sekeliling mereka. Objek-objek yang bercas akan mengalami suatu daya elektrik apabila berada di dalam sesuatu medan elektrik. Daya elektrik yang dialami oleh objek bercas tersebut timbul akibat daripada saling tindak antara medan elektrik yang wujud di kawasan tersebut dengan medan elektrik yang dimiliki oleh objek bercas itu sendiri. Oleh itu bolehlah dirumuskan bahawa medan elektrik adalah suatu kawasan di mana wujudnya daya elektrik  yang bertindak ke atas objek-objek yang bercas.

    Analogi medan elektrik adalah seperti medan graviti, di mana sesuatu jasad yang berada di dalam medan graviti akan mengalami daya tarikan graviti ke atasnya.

    Seperti juga daya graviti, daya elektrik bertindak dalam suatu julat tertentu bergantung kepada keamatan medan elektrik. Keamatan medan elektrik,  E, dinyatakan sebagai daya elektrik, F, perunit cas.


      E = F
            q
 

Ini bermakna unit bagi keamatan medan elektrik ialah NC-1. Magnitud keamatan medan elektrik, seperti juga medan graviti adalah berkadar songsang dengan jarak kuasa dua, r2, daripada sumber cas.
     Medan elektrik adalah kuantiti vektor dan arahnya ditentukan oleh arah daya elektrik yang dialami oleh sesuatu cas ujian yang diletakkan di dalam kawasan medan elektrik itu. Biasanya suatu cas ujian bercas positif digunakan untuk memetakan medan elektrik.

      Medan elektrik digambarkan oleh urat daya medan elektrik atau disebut juga fluks elektrik. Bagi cas positif, arah urat daya medan elektrik adalah mengarah keluar daripada cas tersebut, sementara bagi cas negatif pula, arah urat daya menghala ke dalam. Bagi sepasang cas atau sekumpulan cas-cas pola medan elektrik yang terbentuk adalah bergantung kepada jenis cas yang terlibat dan juga bergantung kepada taburan cas-cas di kawasan tersebut.

     Garis urat daya medan elektrik tidak bersilang satu sama lain. Ia bermula daripada satu cas positif dan tamat pada satu cas negatif. Ketumpatan garis-garis medan elektrik menentukan keamatan atau kekuatan medan elektrik. Ketumpatan garis-garis urat daya yang besar menunjukkan keamatan medan elektrik yang tinggi, sementara ketumpatan garis-garis urat daya yang kecil menggambarkan keamatan medan elektrik yang rendah.

     Cas-cas pada sesuatu konduktor logam tertabur di permukaan konduktor logam tersebut. Cas-cas tertabur di bahagian luar dan tiada cas di bahagian dalam konduktor logam. Ini menyebabkan bagi sesuatu konduktor logam bercas, medan elektrik hanya wujud di bahagian luar sahaja sementara medan elektrik di bahagian dalamnya adalah sifar.
 


      Satu lagi cirinya konduktor logam ialah penumpuan cas-cas pada hujung tajam.  Ketumpatan cas yang tinggi di hujung tajam menghasilkan medan elektrik yang kuat di kawasan tersebut. Pengionan molekul-molekul udara boleh berlaku. Fenomena ini dipanggil kesan tindakan hujung tajam. Ion-ion yang terbentuk seterusnya menuteralkan cas-cas pada hujung tajam konduktor tersebut. Fenomena tindakan hujung tajam telah digunakan dalam alat-alat seperti konduktor kilat dan janakuasa Van De Graaf.
       Medan elektrik berkait rapat dengan beza keupayaan. Pengetahuan tentang medan elektrik dan beza keupayaan membolehkan manusia menerangkan mekanisma pergerakan cas - cas seperti pembentukan bunga api dan beberapa fenomena alam seperti proses kejadian kilat.

Ke mana selepas ini?

Cas Elektrik                         Beza Keupayaan

atau

Carian tambahan

  Pilihan-pilihan